Lelaki Thai ini dedah cara ‘mengayat’ pelancong Rusia tak dikenalinya ikut balik gua, ramai kagum!

CARA romantis seorang lelaki gua Thailand memujuk seorang pelancong Rusia sehingga dia bersetuju pergi ke gua tempat tinggalnya telah menarik perhatian global.

Kisah Jatuphum Losiri atau lebih dikenali sebagai ‘lelaki gua’ menjadi sensasi di negaranya selepas dia mula mendedahkan gaya hidupnya yang luar biasa di Koh Phangan, pulau yang menjadi tuan rumah untuk parti bulan penuh atau festival Songkran.

Dalam satu posting Facebook pada Selasa, Losiri, 48, menceritakan secara terperinci bagaimana dia berjaya membawa wanita muda itu ke tempat tinggalnya.

“Hari ini, ketika saya menunggang motosikal balik ke gua, saya nampak seorang wanita yang cantik paras rupa dari seberang jalan,” tulisnya.

“Saya berkata kepadanya ‘kamu sudah mengganggu saya. Saya sedang menunggang motosikal untuk balik ke rumah, tetapi kerana kecantikan kamu, saya terpaksa berpatah balik. Saya perlu bercakap dengan kamu untuk mengetahui sama ada dalaman kamu juga cantik’,” tulisnya pada posting itu.

“Dia ketawa, dan selepas bercakap dengannya saya dapat tahu dia berasal dari Rusia dan ini adalah hari terakhirnya di Koh Phangan.

“Jadi saya berkata kepadanya ‘ini adalah peluang terakhir untuk kamu mengenali saya. Kita perlu cari tempat yang indah untuk duduk dan bercakap.

“Dia teragak-agak kerana saya orang asing di matanya. Dia berkata ‘saya tak pasti, kamu mungkin berbahaya’. Saya tersenyum dan menjawab ‘benar, saya tahu bagaimana perasaan kamu. Kamu berada di negara lain, jauh dari rumah dan lelaki asing mengundang kamu untuk bersamanya. Tak perlu bimbang, saya tak berbahaya. Dan tempat yang saya nak bawa kamu tidak jauh. Jika kamu rasa tak selesa, kamu boleh menjerit minta tolong.

“Apabila dia mendengarnya, dia bersetuju dan melompat duduk di belakang motosikal saya.”

Posting itu menyebabkan lelaki gua itu dipuji kerana keberanian dan kemahiran lisannya.

Tetapi beberapa jam selepas kisah itu tular, lelaki itu menyiarkan foto seorang wanita misteri sedang tidur di atas katilnya, mengejutkan netizen.

“Tidak kira betapa letihnya saya malam tadi, saya masih bangun pukul 6 pagi. Kemudian saya bancuh kopi dan bermeditasi. Tetapi seseorang masih tidur,” dia menulis keterangan pada gambar itu yang mencetuskan kritikan kerana mereka mengandaikan dia tidak meminta kebenaran wanita itu sebelum menyiarkannya.

Tetapi bagi pengikutnya yang sudah lama, posting itu adalah satu kebiasaan.

Malah, sebelum postingnya bersama wanita Rusia itu tular dan menjadi tajuk berita, dia telah popular di internet kerana gaya hidup minimalis di gua.

Menurut laporan, gua itu terletak di tanah persendirian dan tiada siapa mengharamkannya untuk tinggal di situ setelah dia mendapati lokasi itu kosong dan berpindah ke situ sekitar lapan bulan yang lalu.

Selain mempromosikan gaya hidupnya, dia yang dilahirkan di Bangkok juga telah menggunakan akaun Facebooknya untuk menyiarkan tentang kehadiran ramai wanita Barat yang sangat dialu-alukannya ke gua itu.

“Saya sangat penat. Setiap kali saya keluar dari gua, saya ada masalah. Sekarang saya perlu membawanya untuk melihat gua saya,” katanya dalam keterangan gambar.

“Kadang-kadang menjadi lelaki gua membawa kita kepada masalah. Seperti yang anda dapat lihat,” dia menulis keterangan pada gambarnya dengan seorang wanita berbeza.

Selepas kisahnya menjadi tajuk berita, dia memberitahu pemberita bahawa dia hanya seorang lelaki romantis dan tidak mengharapkan sebarang tindak balas dari postingnya.

“Saya dah padam gambar wanita di tempat tidur. Saya tak mahu wanita yang telah bersama saya ini berasa tidak selesa apabila dia mengetahui tentangnya. Walaupun, anda tak tahu siapa wanita itu berdasarkan foto itu,” katanya dalam temu bual dengan Amarin TV.

“Saya hanya menyiarkannya untuk suka-suka. Saya tidak fikir akan ada tindak balas, tetapi saya tahu akan ada yang setuju dan tak setuju, tidak kira apa yang saya lakukan,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa wanita di katilnya itu hanyalah salah seorang ‘pencinta’ dan bukan wanita Rusia dari posting terdahulu.

Dia juga memberitahu media bahawa kebanyakan wanita yang bersamanya adalah wanita Barat dan dia sudah lama tidak mempunyai teman wanita Thai.

Dia menegaskan dirinya tidak pernah memikat wanita untuk masuk ke dalam gua atau memaksa mereka.

Dalam satu lagi posting dia memberitahu bahawa wanita Rusia itu meninggalkannya selepas dia meminta izin untuk menciumnya tetapi ditolak oleh wanita itu.

Bagaimanapun, setelah dikecam kerana foto wanita bogel itu, dia mengeluarkan posting tersebut dan menulis ‘jika anda mendapati posting saya mengganggu, maka anda tak perlu ‘follow’ saya.

“Saya tak paksa sesiapa pun untuk mengikuti halaman ini. Hanya orang yang sama impian dan gaya hidup seperti saya akan berseronok di sini (laman Facebook),” tulisnya. -MailOnline

Be the first to comment on "Lelaki Thai ini dedah cara ‘mengayat’ pelancong Rusia tak dikenalinya ikut balik gua, ramai kagum!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*