Bergugur Air Mata Ku Dengar Cerita Kanak Manga Dera Ibu Bapa

 

Kisah ini diceritakan oleh seorang rakan saya, Dr. Sarah (bukan nama sebenar). Pada malam tersebut, Dr. Sarah bertugas di Jabatan Kecemasan. Pada jam 2 pagi, datang sepasang suami isteri membawa anak perempuan mereka kerana demam dan selsema.

Anehnya, kanak-kanak tersebut kelihatan agak kurus untuk peringkat umurnya. Rambutnya pula agak kasar, dan baju yang dipakainya juga agak kusam.

Dr Sarah pun memulakan temubual dan pemeriksaan terhadap anak gadis tersebut.

“Adik dah berapa hari demam?” tanya Dr. Sarah.

Anak kecil tersebut menunduk, enggan menjawab, malah enggan bertentang mata. Dr Sarah mengulang soalannya kali kedua, namun segera dipintas oleh ibu kanak-kanak tersebut.

“Demamnya sudah empat hari!” jawab wanita berusia lewat 20-an itu dengan suara yang agak tinggi. Suaminya bercekak pinggang, berdiri di sebelah.

Dr Sarah sekadar meminta maaf. Beliau sambung bertanya kepada anak kecil tersebut,

“Ada sakit di mana-mana tak, adik?” Gadis tersebut masih menunduk. Dengan perlahan, jari telunjuknya ditunjukkan kepada paha kanan.

Dr Sarah menarik sedikit skirt yang dipakai kanak-kanak tersebut. Kelihatan ada lebam di situ.

“Paha adik, kena apa?” tanya Dr Sarah. Sekali lagi, ibu kanak-kanak tersebut pantas memintas,

“Itu dia jatuh tangga minggu lepas, doktor!”

Dr Sarah berasa hairan. Ini kerana lebam tersebut kelihatannya seperti baru terjadi, tidak sepatutnya sampai seminggu. Lebam yang sudah seminggu, sepatutnya sudah bertukar warna dan mula hilang.

Dr Sarah menyambung pemeriksaan. Beliau cuba membuka baju kanak-kanak tersebut. Kemudiannya dengan tiba-tiba, bapa kanak-kanak tersebut menghalang beliau.

“Kenapa doktor nak buka baju dia? Kan saya kata, dia demam dan batuk sahaja. Doktor tak perlu periksa banyak-banyak, bagi ubat demam sahaja sudah lah.” ujar lelaki tersebut.

“Minta maaf encik, saya perlu lakukan pemeriksaan untuk pastikan punca anak kecil ini demam. Barulah saya dapat berikan rawatan yang tepat.” jelas Dr Sarah.

Apabila baju kanak-kanak tersebut dibuka, Dr Sarah dapat melihat ada beberapa kesan parut di belakangnya. Parut-parut tersebut berbentuk bulat dan kecil, dan seperti sudah lama. Namun Dr Sarah tidak menunjukkan sebarang reaksi dan menghabiskan pemeriksaan.

“Encik, puan, kita perlu melakukan pemeriksaan darah ye untuk adik ini. Kita perlu kenalpasti punca demam. Takut-takut kalau masalah seperti denggi, bahaya!” ujar Dr Sarah kepada ibubapa gadis tersebut. Mereka sekadar mengangguk faham.

“Encik bawa anak encik untuk tunggu didalam bilik di hujung sana ye, sekejap lagi saya datang untuk ambil darah.”

Dr Sarah meminta jururawat mengiringi ibubapa tersebut membawa anak mereka ke sebuah bilik. Bilik tersebut, adalah bilik OSCC (One Stop Crisis Centre). Bilik OSCC adalah sebuah bilik khas yang terdapat di setiap jabatan kecemasan. Ianya dikhususkan untuk pesakit-pesakit seperti mangsa keganasan, jenayah, mahupun kecederaan seksual. Ia memberikan keutamaan kepada pesakit, serta privasi khasnya pesakit yang masih dalam keadaan trauma.

Dr Sarah mengesyaki ada yang tidak kena pada gadis tersebut. Parut yang terdapat di belakang badannya kelihatan seperti parut terbakar. Bentuknya yang kecil dan bulat-bulat membuatkan Dr Sarah mengesyaki ianya berpunca dari puntung rokok.

Sambil membawa peralatan untuk mengambil darah, Dr Sarah berbisik kepada rakan setugasnya untuk menghubungi polis. Beliau tidak bercadang untuk terus menuduh ibubapa tersebut, kerana dikhuatiri mereka bertindak di luar jangkaan. Beliau memasuki bilik OSCC bersama seorang Pembantu Pegawai Perubatan lelaki.

Beliau pun mula mengambil darah kanak-kanak berkenaan. Seusai prosedur, dua orang pegawai polis memasuki bilik OSCC. Ibubapa gadis berkenaan terkejut, dan menaikkan suara,

“Siapa suruh doktor panggil polis?!” jerit beliau sambil penumbuknya diangkat. Nyaris berlaku pergelutan, namun cekap ditumpaskan oleh pegawai polis dan pembantu pegawai perubatan yang ada.

Kedua-dua ibubapa akhirnya ditahan polis. Dr Sarah memeluk gadis tersebut seraya berbisik,

“Jangan risau sayang, kamu dah selamat.”

Lantas barulah kanak-kanak tersebut teresak-esak menangis dipangkuannya.

Alhamdulillah, hasil keputusan darah didapati normal. Rupanya beliau hanya demam selesema biasa sahaja, namun kerana kepekaan Dr Sarah, hasil pemeriksaan beliau, telah berjaya mengesan bahawa kanak-kanak tersebut rupanya mangsa penderaan.

Kanak-kanak tersebut segera dirujuk ke pakar kanak-kanak untuk dimasukkan ke wad. Kes tersebut juga dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala ibubapanya ditahan polis.

***

NON ACCIDENTAL INJURY

Kami di bahagian perubatan, dilatih untuk mengenali tanda-tanda yang dipanggil Non-Accidental Injury (NAI). NAI adalah tanda-tanda kecederaan yang ada pada seseorang khasnya kanak-kanak, menunjukkan bahawa kecederaan tersebut disengajakan.

Mereka yang kerjayanya melibatkan kanak-kanak seperti guru dan pengasuh, turut disarankan untuk mengenali tanda-tanda Non-Accidental Injury ini. Mengenali tanda-tanda NAI boleh menyelamatkan seseorang kanak-kanak yang mengalami penderaan.

Berikut adalah beberapa tanda-tanda Non-Accidental Injury;

– LEBAM – terutamanya yang terjadi di kawasan seperti punggung, tubuhbadan, kemaluan. Begitu juga sekiranya ianya berlaku di berbilang tempat, adakalanya simetri kiri dan kanan. Perhatikan juga lebam yang mempunyai bentuk-bentuk tertentu.

– MELECUR – kesan lecuran yang disengajakan seperti berbilang tempat atau berulangkali, mempunyai bentuk tertentu, atau kesan rendaman yang lama.

– RETAK ATAU PATAH – secara umumnya, semua jenis kepatahan terutamanya kepada bayi atau kanak-kanak dibawah usia dua tahun, perlu disiasat, khasnya jika kanak-kanak tersebut tidak dibawa berjumpa doktor. Kepatahan akibat perbuatan seperti menarik, memulas, dapat dikesan melalui xray. Kepatahan pada tubuh badan seperti di tulang rusuk turut boleh menimbulkan kesangsian.

– KECEDERAAN KEPALA – agak sukar dikesan kerana simtom yang tidak spesifik seperti muntah, kurang menyusu/makan, kurang aktif.

Perhatikan juga perubahan pada tingkahlaku dan emosi kanak-kanak. Mereka yang menjadi mangsa penderaan selalunya menunjukkan sikap pendiam, ketakutan, bahkan adakalanya bertindak ganas khasnya sesama rakan sebaya ataupun terhadap haiwan. Kecederaan seksual juga perlu disyaki jika mangsa mengadu sakit ketika kencing atau buang air besar.
Tanda-tanda Non-Accidental Injury, meskipun lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak, turut boleh didapati pada orang dewasa. Ia boleh berlaku kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga, mahupun menjadi indikasi kepada masalah seperti buli dan perasugut.

Apa perlu buat jika anda mengesyaki adanya tanda-tanda Non-Accidental Injury?

Jika mangsa tersebut adalah kanak-kanak dibawah jagaan anda (pengasuh, atau murid sekolah), maka anda seharusnya membawa terus kanak-kanak tersebut ke hospital untuk pemeriksaan pegawai perubatan. Maklumkan ke kaunter jabatan kecemasan bahawa anda mengesyaki ada berlakunya penderaan, dan kakitangan hospital akan membawa anda ke bilik OSCC yang disediakan. Anda dan mangsa tidak perlu menunggu lama seperti pesakit kes hijau lain. Bilik OSCC sentiasa dibuka 24/7 di kebanyakan Jabatan Kecemasan hospital-hospital kerajaan.

Setiap hospital kerajaan juga terdapat pasukan khas dipanggil SCAN (Suspected Child Abuse & Neglect) yang terdiri daripada pegawai-pegawai perubatan, pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Pegawai Polis yang ditugaskan. Pasukan ini akan terus dimaklumkan, dan temubual dan pemeriksaan mangsa akan dijalankan secara sulit dan privasi.

Jika anda sendiri adalah mangsa kecederaan atau buli, atau anda mengenali individu tersebut, anda boleh terus ke kaunter kecemasan dan maklumkan bahawa anda adalah mangsa keganasan/buli. Anda akan dirujuk ke pegawai perubatan untuk pemeriksaan.

Be the first to comment on "Bergugur Air Mata Ku Dengar Cerita Kanak Manga Dera Ibu Bapa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*