Jangan Abaikan Sengatan Kecil Kerana Ia Boleh Membawa Maut

“Saya tak mahu anak saya dimasukkan ke wad!”

Tegas lelaki berusia 45 tahun tersebut sambil bercekak pinggang. Anaknya yang berusia 6 tahun, baru lepas disengat tebuan. 5 ekor jumlahnya, tebuan tanah. Dibawa ke jabatan kecemasan dalam keadaan kesakitan. Walaupun baru disengat tebuan kurang dari sejam, tubuh badannya sudah mula menunjukkan reaksi alahan.

Rawatan kecemasan diberikan. Suntikan penahan sakit, dan suntikan hydrocort – sejenis ubat alahan – diberikan. Kanak-kanak tersebut kini lebih selesa, meskipun kepala dan telinganya masih bengkak dek gigitan binatang berbisa tersebut.

Dr. Aishah mahu kanak-kanak tersebut dipantau lebih rapi untuk tempoh 24 jam. Namun ayah kanak-kanak tersebut tidak bersetuju.

“Tapi encik, ini kes alahan kepada sengatan serangga. Kes ini bahaya, encik!” tegas Dr. Aishah (bukan nama sebenar). Tampak kegelisahan pada wajahnya.

“Biasa sahaja kena sengat binatang. Doktor dah bagi ubat tahan sakit, kan? Saya nak bawa dia balik berubat cara kampung!” tegas lelaki tersebut lagi.

Dr. Aishah menggeleng-gelengkan kepalanya. Beliau cukup khuatir jika kanak-kanak malang tersebut mendapat komplikasi alahan yang serius, dipanggil anaphylactic shock. Kejutan anafilaksis biasanya berlaku dengan sangat pantas. Atas sebab itu kanak-kanak ini perlu dimasukkan ke wad. Untuk pemerhatian rapi, dikhuatiri jika terjadinya kejutan anafilaksis,rawatan kecemasan dapat diberikan segera.

“Sengatan serangga, boleh mencetuskan alahan, encik. Kita nampak kat anak encik, dah jadi alahan pun. Encik nampak tak pada kulitnya. Sudah bertompok-tompok, ruam. Kalau encik perasan, pada mukanya pun kita sudah nampak bengkak, terutamanya di mata dan bibir.”

Lelaki tersebut memandang kepada anaknya. Kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun tersebut, pada pengamatannya biasa sahaja. Tak nampak bengkak pun. Ada lah sedikit bengkak mata, tapi kan baru lepas menangis. Normal lah budak-budak bengkak mata selepas menangis.

Begitu yang bermain di fikiran lelaki tersebut.

Lelaki tersebut bertegas enggan anaknya dimasukkan ke wad. Malah mahu segera bawaanaknya pulang. Beliau kenal ada bomoh di hujung kampung. Bomoh tersebut memiliki ilmu menarik bisa. Apa sahaja binatang berbisa yang menggigit, pasti bomoh tersebut boleh menarik bisanya. Ular, lipan, kala jengking.Inikan pula, tebuan. Kecil pula tu.

Dr. Aishah memandang dengan sayu tatkala kanak-kanak tersebut dipimpin keluar oleh ayahnya. Borang discaj “At Own Risk” (AOR) yang telah ditandatangani oleh sang bapa, disimpan kemas didalam kad rawatan. Dr. Aisyah segera memfokus kepada pesakit lain di Jabatan Kecemasan itu.

Tak sampai sejam kemudian,

Pintu kecemasan dibuka kuat oleh pengawal keselamatan. Kelihatan lelaki yang sebentar tadi keluar dengan anaknya, meluru masuk. Cuma kali ini, anaknya itu didukung rapi. Lemah longlai. Terus Penolong Pegawai Perubatan bertugas mengarahkan agar kanak-kanak tersebut diletakkan di katil zon merah.

Dr. Aishah segera menerpa kanak-kanak tersebut. Bersama beberapa staf yang lain. Oksigen diberikan, vital signs diambil, dan branulla untuk akses intravena dipasang.

“Tadi kami dah sampai ke rumah bomoh tersebut. Bomoh tersebut sedang beri penawar. Pada ketika itu saya nampak anak saya sudah berpeluh dan bernafas laju. Saya sangkakan kesan dari rawatan bomoh tersebut. Tiba-tiba dia terus tak sedar, bomoh tersebut terkejut dan menyuruh saya segera bawa kembali anak saya ke hospital!”

Cerita sang ayah dalam keadaan panik. Pengawal keselamatan mengiringi beliau keluar seketika, bagi memberi ruang doktor melakukan resusitasi.

Kanak-kanak tersebut terbaring tidak sedar. Pucat lesi, manakala tangan dan kakinya kesejukan. Bibirnya sudah kebiruan. Tekanan darahnya rendah, manakala nadinya laju. Tanpa berlengah, Dr. Aishah segera mengambil posisi untuk prosedur intubasi. Intubasi adalah prosedur menyelamatkan airway iaitu saluran pernafasan pesakit. Sebuah tiub akan dimasukkan melalui mulut, terus ke rongga trakea yang disambungkan ke peparu. Udara dan oksigen akan dibekalkan melalui tiub ini.

“Abang Mahathir, tolong bagi IM Adrenaline stat! Laryngeal edema terlalu besar, saya tak dapat nak intubate!” arah Dr. Aishah kepada MA Mahathir.

MA Mahathir segera mengambil sebuah syringe yang mengandungi cecair adrenaline, sejenis ubat yang digunakan khas untuk kes anaphylaxis shock. Jarum suntikan tersebut ditusuk terus ke paha kanak-kanak ini.

“Minta ETT size 5.5!” Dr. Aishah meminta tiub pernafasan yang bersaiz lebih kecil. Apa yang sedang dialami oleh kanak-kanak ini, adalah anaphylaxis shock. Anaphylaxis shock adalah kesan alahan yang serius, menyebabkan keseluruhan tubuh badan kanak-kanak ini kebengkakan (edema). Termasuklah di kawasan saluran pernafasan.Kebengkakan saluran pernafasan (laryngeal edema) menyebabkan kanak-kanak ini gagal bernafas. Dr. Aishah terpaksa mencuba intubasi menggunakan tiub pernafasan bersaiz lebih kecil. Jika tiub bersaiz kecil pun gagal, Dr. Aishah mungkin terpaksa melakukan tracheostomy, iaitu sebuah tebukan kecil akan dibuat di leher gadis berkenaan menggunakan pisau skalpel!

Alhamdulillah, dengan kemahiran Dr. Aishah, kanak-kanak tersebut berjaya di intubasi.

Namun kesan anaphylaxis shock tersebut begitu kuat sehingga menyebabkan jantungnya mengalami masalah. Kanak-kanak tersebut terpaksa dialirkan cecair inotropes, iaitu ubat penguat jantung bagi menyokong tekanan darahnya yang lemah. Kanak-kanak tersebut terpaksa dihantar ke hospital besar, atau lebih tepat lagi, unit rawatan rapi (ICU).

Namun beberapa hari kemudian, Dr. Aishah menerima khabar buruk. Kanak-kanak tersebut sudah meninggal dunia, akibat kegagalan fungsi organ yang pelbagai berikutan anaphylaxis shock atau alahan yang dialami.

****

Lebah, tebuan dan semut api – ketiga-tiganya berasal dari kumpulan Hymenoptera. Serangga dari jenis ini, biasanya mempunyai penyengat yang mengandungi bisa khas. Bisa ini sering menyebabkan terjadinya alahan kepada mangsa sengatan. Secara umum, kes alahan kepada sengatan hymenoptera banyak terjadi khasnya di negara-negara tropika, termasuklah di Malaysia. Tahun ini sahaja, sudah beberapa kes kematian akibat sengatan hymenoptera dilaporkan akhbar, dengan sebilangan kes melibatkan pesakit kanak-kanak.

Alahan, boleh berlaku pada bila-bila masa selepas sengatan. Ia mungkin menunjukkan tanda-tanda awal seperti kemerahan dan gegata khasnya di tempat sengatan, namun kesan alahan serius seperti kejutan anafilaksis (anaphylaxis shock) boleh berlaku dalam tempoh 24 ke 48 jam selepas sengatan. Ianya lebih mudah terjadi dalam kes sengatan berbilang (multiple sting), namun terdapat juga kes anaphylaxis shock dilaporkan terjadi kepada bayi yang disengat hanya oleh seekor tebuan!

Bahkan terdapat juga keadaan dimana seseorang mengalami serangan jantung akibat sengatan lebah atau tebuan. Keadaan ini, dinamakan Kounis Syndrome.

Apa yang perlu dibuat sekiranya anda mengalami sengatan tebuan atau lebah? Segera datang ke hospital atau klinik terdekat bagi mendapatkan rawatan. Anda mungkin akan diberikan suntikan dan ubat penahan sakit, dan doktor akan melakukan pemeriksaan penuh.

Sekiranya doktor mengesyaki anda berisiko tinggi untuk kejutan anaphylaxis, doktor akan menyarankan anda dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut. Ini kerana kejutan anaphylaxis boleh terjadi pada bila-bila masa, dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Jangan ambil risiko dengan sengatan tebuan atau lebah. Hindari kawasan yang berisiko tinggi seperti semak dan hutan, serta laporkan kepada pihak berkuasa segera sebarang sarang lebah atau tebuan yang berada di kawasan awam.

Be the first to comment on "Jangan Abaikan Sengatan Kecil Kerana Ia Boleh Membawa Maut"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*