Pengalaman Aku Melakukan Bantuan Kecemasan

TOLONG, ADA KECEMASAN!

Dr. Amir ketika itu sedang berkereta untuk pergi membeli belah barangan keperluan harian. Beliau tiba di sebuah simpang, di pinggir bandar tempat beliau tinggal.

Di persimpangan tersebut, beliau menunggu lampu isyarat merah bersama beberapa kenderaan lain. Dr. Amir terperasan ada seorang pemuda menunggang motosikal, turut sama berhenti di hadapan kereta beliau.

Tiba-tiba, hampir sahaja lampu isyarat bertukar hijau, pemuda tersebut bersama motosikalnya rebah ke sebelah kiri. Dr. Amir segera memberikan signal ke tepi dan meletak kenderaannya di tepi jalan, lantas keluar menuju ke arah pemuda tersebut.
Pemuda tersebut, rupanya sedang mengalami sawan. Keseluruhan badannya dalam keadaan kekejangan, sambil matanya membeliak ke atas dan mulutnya berbuih.

Dr. Amir melihat ke sekiling. Lokasi pemuda tersebut rebah bersama motosikalnya, agak berada di tengah persimpangan jalan.

Melihat situasi ketika itu agak berbahaya, Dr. Amir bersama beberapa orang awam yang turut berada di tempat kejadian, segera mengangkat pemuda tersebut ke tepi jalan. Motosikal yang dinaikinya juga dialih ke tepi. Mujurlah tiada kerosakan yang ketara.

Sebaik sahaja pemuda tersebut diletakkan ke tepi, Dr. Amir membaringkannya dalam keadaan mengiring di sebelah kiri. Kepalanya sedikit didongakkan. Baju kemeja yang dipakai pemuda tersebut segera dibuka butangnya, manakala helmet yang dipakainya ditanggalkan.

Dr. Amir meletakkan jarinya secara melintang di bawah lubang hidung pemuda tersebut. Beliau dapat merasakan bahawa pemuda tersebut bernafas dengan baik. Seterusnya beliau melihat bahagian dada lelaki berkenaan bagi memastikan terdapat pergerakan menarik dan menghembus nafas.

Tentulah, pemeriksaan ini pasti akan lebih tepat dan mudah sekiranya Dr. Amir menggunakan stetoskop. Namun dalam keadaan kecemasan ketika itu, Dr. Amir menggunakan kaedah yang lebih ringkas dan tidak memerlukan peralatan.
Dr. Amir juga turut memeriksa tangan pemuda berkenaan, sambil memeriksa nadi pemuda berkenaan di bahagian pergelangan tangannya. Alhamdulillah, nadinya kuat dan sekata, manakala tangan pemuda berkenaan juga tidak pucat atau kebiruan. Ini bermaksud jantung dan sistem peredaran darah pemuda berkenaan berfungsi dengan baik, setidak-tidaknya secara kasar.

Pun begitu, pemuda tersebut masih belum sedar sepenuhnya. Namun beliau tidak lagi kekejangan, sebaliknya dalam keadaan lali dan mamai.

“Beliau pasti dalam keadaan post-ictal drowsiness”, fikir Dr. Amir. Post-ictal drowsiness adalah keadaan seorang pesakit selepas serangan sawan, yang kelihatan seperti lemah dan mengantuk.

“Adik, boleh minta tolong panggilkan ambulans?” Dr. Amir meminta bantuan seorang remaja yang berada berhampiran. Beliau lantas mendail telefon bimbitnya dan

Di ketika itu juga, semakin ramai orang awam yang lalu-lalang, berkerumun mahu melihat apa yang sedang berlaku. Dr. Amir memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor, dan meminta agar pemuda yang diserang sawan tersebut diberi ruang untuk bernafas.

Seorang lelaki yang lebih berusia, mengambil peranan mengawal keadaan sekeliling. Beliau meminta agar orangramai memberikan jarak daripada Dr. Amir dan pemuda berkenaan. Seorang pemuda lain pula, membantu mengawal lalulintas bagi memastikan kenderaan berjalan lancar dan tidak berlaku kesesakan di simpang berkenaan.

Dr. Amir duduk disisi pemuda berkenaan. Beliau dalam keadaan berjaga-jaga, kerana orang yang diserang sawan, boleh terus diserang sawan untuk kali kedua dan ketiga malah boleh secara berterusan, keadaan yang dipanggil status epilepticus.

“Aku..kat mana ni…”

Pemuda berkenaan sudah membuka matanya. Lemah tubuh badannya. Dr. Amir yang ketika itu berada di tepi, segera memberikan respons.

“Encik, encik baru diserang sawan. Saya Dr. Amir, kebetulan saya nampak encik diserang sawan tadi. Encik baring sahaja dahulu, jangan paksa diri untuk bangun. Kita kena tunggu ambulans tiba untuk membawa encik ke hospital untuk pemeriksaan.”

Lelaki berkenaan hanya mengangguk perlahan.

“Boleh saya tahu, siapa nama encik, dan dimana encik tinggal?” tanya Dr. Amir. Beliau boleh sahaja terus meminta kad pengenalan atau lesen lelaki berkenaan. Namun dalam situasi itu, Dr. Amir mahu menguji sama ada lelaki berkenaan sudah sedar sepenuhnya atau belum.

“Nama saya Irfan, saya tinggal di Kampung.” jawab beliau lagi.

Kedengaran dari jauh, bunyi ambulans. Tak sampai beberapa minit, ambulans berkenaan tiba ke lokasi. Dr. Amir segera mendapatkan dressar yang datang, sambil menceritakan apa yang berlaku.

Dressar tersebut segera membawa turun stretcher, dan lelaki berkenaan diusung ke ambulans. Beliau segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sawan, adalah sebuah simtom bagi pelbagai jenis penyakit. Ia boleh jadi petanda bagi penyakit seperti epilepsi, ataupun boleh jadi simtom bagi kes yang lebih serius seperti pendarahan dalam otak. Oleh itu, semua pesakit yang mengalami sawan, perlu diperiksa dengan teliti dan lebih lanjut.

Keadaan kecemasan seperti sawan ini boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana jua. Kita seharusnya tahu asas rawatan kecemasan “First Aid” untuk diberikan kepada mangsa, sekiranya kita ditakdirkan berada di tempat kejadian. Antara langkah penting “First Aid” yang boleh kita ingati adalah

DRSABC.

D : Danger – Jauhkan mangsa dari bahaya. Dalam situasi ini, Dr. Amir dan orang sekeliling mengangkat pemuda berkenaan ke tepi jalan yang selamat, berbanding berada di tengah jalan. Yang lebih penting lagi, anda perlu pastikan diri anda sendiri tidak dalam bahaya, contohnya untuk kes-kes seperti lemas, kebakaran dan renjatan elektrik.

R : Respons – Lihat adakah mangsa respons kepada panggilan anda atau tidak. Tepuk pada bahunya, atau genggam tangannya.

S : Shout For Help – Anda tidak boleh lakukannya seorang diri. Pastikan anda mendapatkan bantuan, sama ada orang sekeliling atau menelefon ambulans segera.

A : Airway – Pastikan tiada apa yang mengganggu pernafasan mangsa. Pakaian perlu dilonggarkan, topi keledar atau tali leher perlu ditanggalkan.

B : Breathing – Kenalpasti sama ada mangsa bernafas atau tidak. Anda boleh menggunakan jari atau tapak tangan, atau meletakkan telinga anda berhampiran hidung atau mulut mangsa bagi mengetahui sama ada mangsa bernafas atau tidak, atau melihat kepada pergerakan dada.

C : CPR – Jika mangsa dalam keadaan tidak sedar DAN tidak bernafas, anda perlu memulakakn prosedur CPR kepada mangsa. Pastikan mangsa diletakkan berbaring di tempat yang rata. Jika anda tidak mengetahui cara-cara CPR, maklumkan kepada pegawai yang bercakap di talian kecemasan (999) dan letak telefon dalam keadaan loudspeaker. Pegawai berkenaan akan memberikan arahan jelas untuk anda ikuti sementara menunggu ketibaan bantuan perubatan.

Apabila berlaku sesuatu kecemasan di tempat awam, sudah menjadi budaya masyarakat kita untuk berkerumun di lokasi atas dasar ingin tahu. Ada juga yang tidak sensitif mengambil gambar dan video, atas tujuan ingin dimuatnaik di media sosial dan diviralkan.

Persoalan yang perlu ditanya adalah, jika anda atau ahli keluarga anda berada di tempat mangsa, adakah anda rela dan redha diperlakukan sedemikian?

Sebaiknya jadilah anggota masyarakat yang membantu. Secara berhemah, mainkan peranan untuk membantu mangsa atau beri kerjasama kepada orang yang lebih berkemahiran untuk menolong. Jika mangsa sedar, bantu tenangkan mangsa dan tawarkan diri untuk menghubungi keluarga atau rakan terdekat. Orang yang sedang ditimpa musibah, kita jangan tambahkan kesedihan dan kesengsaraan mereka.

Kita tidak tahu bila masa hari kita pula berada didalam kecemasan, dan orang lain pula akan membantu kita perkara yang sama.

Be the first to comment on "Pengalaman Aku Melakukan Bantuan Kecemasan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*