Punca Ramai Pesakit Suka Tipu Doktor Tentang Kejadian Sebenar

 

Seorang lelaki masuk ke bilik konsultasi. Dr. Ahmad lantas senyum dan menjawab salam yang diberikan. Tersengih-sengih lelaki berkenaan. Tangannya bengkak. Hampir keseluruhan tangannya. Warnanya juga sudah berubah kebiruan.

“Kenapa encik, tangan ini?”

“Saya terjatuh semalam!” Jawab beliau. Dr. Ahmad segera memeriksa tangan tersebut. Sambil itu beliau bertanya lagi,

“Boleh encik ceritakan dengan terperinci, bagaimana encik jatuh sampai bengkak tangan ini?”

Selaku pegawai perubatan, Dr. Ahmad perlu mengetahui dengan terperinci peristiwa kecederaan. Ia bagi memastikan bagaimana mekanisma sesebuah kecederaan, sekaligus membolehkan seseorang doktor mengesyaki jenis kecederaan sama ada melibatkan patah tulang yang tertentu mahupun melibatkan tisu atau organ lain.

“Saya tergelincir, kemudian tangan saya cuba tahan badan saya. Lantas saya jatuh di permukaan lantai.” ujar beliau lagi sambil menggayakan jatuhan beliau.

Dr. Ahmad cuma sekadar mengangguk. Agak aneh sebenarnya kerana kecederaan yang dialami melibatkan bahagian belakang tangan (dipanggil dorsal). Jika mekanisma “menahan jatuh” terlibat, lazimnya kecederaan berlaku sama ada di bahagian tapak tangan, atau lebih kerap lagi, bahagian pergelangan tangan. Ini kerana bahagian ini yang menerima daya dari berat badan yang ditahan. Bahkan patah pada tulang pergelangan tangan akibat kecederaan sebegini, ada namanya sendiri, dipanggil Galeazzi Fracture.

Begitu juga, Dr. Ahmad menyedari terdapat sedikit kesan luka calar dan lebam di bahagian belakang tangan dan jari. Jika lelaki ini mengalami kecederaan akibat jatuh tersembam, sepatutnya yang luka adalah di bahagian tapak tangan. Itu yang bermain di fikiran Dr. Ahmad.

“Tak apa encik, saya rasa kita perlu xray tangan encik. Bengkak yang ada agak ketara, kita khuatir berlakunya kepatahan.” Ujar Dr. Ahmad bagi mendapatkan kepastian.

Lelaki berkenaan mengangguk. Dr. Ahmad mengisi borang xray lantas meminta lelaki berkenaan ke bilik xray.

Hampir 30 minit kemudian, lelaki berkenaan telah selesai menjalani xray tangannya. Dr. Ahmad sedang meneliti xray berkenaan.

“Encik, kita dapati terdapat patah ye pada tulang metacarpal yang keempat dan kelima.”

“Ha, tulang apa?” tanya beliau. Bahasa perubatan yang disebut oleh Dr. Ahmad, tidak difahami oleh orang biasa seperti beliau.

“Maaf. Maksud saya, tulang berhampiran sendi jari manis dan jari kelingking encik. Tapi…”

“Ooo.. tapi apa, doktor?”

“Kepatahan pada tulang encik ini, tidak konsisten dengan penceritaan encik. Betul ke encik jatuh, semalam?” Dr. Ahmad bertanya dengan suara yang sengaja diperlahankan.

Muka lelaki berkenaan berubah. Ternampak riak cemas.

“Erm sebenarnya doktor..saya bukan terjatuh. Semalam, saya ada bertengkar dengan rakan sekerja saya. Pada mulanya kami hanya bertikam lidah, tapi saya hilang sabar lantas saya menumbuk muka dia.”

Dr. Ahmad pula mengangguk. Sangkaan beliau tepat. Patah pada tulang metacarpal keempat dan kelima, diberi nama “Boxer’s Fracture”. Ia berlaku akibat seseorang melepaskan tumbukan kepada objek keras seperti dinding ataupun tengkorak orang lain.

“Saya dah agak.. encik, encik sepatutnya memberitahu saya perkara yang sebenar sejak dari mula lagi. Barulah kami dapat membuat diagnosis yang betul, dan encik pun mendapat rawatan yang tepat!”

Lelaki berkenaan mengangguk dalam tunduk.

“Bagaimana keadaan rakan encik tersebut?” tanya Dr. Ahmad lagi. Walaupun mungkin tidak berkaitan dengan kecederaan yang dialami oleh lelaki tersebut, namun melihatkan keadaannya yang sehingga patah tangan, Dr. Ahmad sedikit risau mengenai “mangsa” tumbukannya itu.

“Rakan saya tersebut, agak sedikit terhuyung-hayang selepas ditumbuk saya. Rakan-rakan sekerja saya yang lain segera menyeleraikan pergaduhan kami, dan dia dibawa ke klinik berdekatan.” Ujar beliau.

“Itu yang saya risaukan, encik! Maaf jika saya bertanya, ada kemungkinan tak untuk rakan encik buat laporan polis mengenai pergaduhan kalian?”

Beliau membulatkan mata. “Tak terfikir pula, doktor. Mungkin ya, saya pun tak tahu. Dia tak masuk kerja pun hari ini.”

“Itu satu lagi sebab encik tak sepatutnya berbohong kepada saya. Jika benar rakan encik ada membuat laporan polis, encik mungkin akan dipanggil polis untuk diambil keterangan. Dan jika didapati encik juga mengalami kecederaan, maka saya juga selaku doktor yang merawat, turut boleh diambil keterangan bahkan berpotensi dijadikan saksi di mahkamah. Sebab itulah, saya perlu mendapatkan cerita yang betul dari encik. Ini bukan hal main-main, encik. Ini melibatkan undang-undang!”

Penjelasan Dr. Ahmad membuatkan lelaki berkenaan terkesima. Beliau tidak menyangka pula, perkara sekecil pergaduhan sesama rakan sekerja boleh menjadi seserius itu.

“Saya minta maaf, doktor. Sebenarnya saya tidak berniat hendak melanggar undang-undang apatah lagi menyebabkan kesusahan kepada doktor. Sebenarnya, saya takut kalau saya perlukan pembedahan, saya tak boleh membuat tuntutan insurans! Itu sahaja, sumpah!” Ujar lelaki berkenaan, jujur.

“Ya betul, kecederaan akibat perbuatan sendiri sebegini memang tidak diluluskan insurans. Tapi encik kena ingat, pihak insurans juga ada panel doktor mereka sendiri. Kalau saya pun boleh mengesyaki ada yang tak kena dengan cerita encik, apatah lagi pihak insurans!”

Muka lelaki berkenaan berubah sekali lagi.

“Ye ke doktor.. habislah saya.. doktor janganlah beritahu cerita sebenarnya kepada pihak insurans. Saya tak mampu nak bayar sendiri kos pembedahan semua ni!” rayu lelaki berkenaan.

“Eh tak apa encik, encik tak perlu risau. Kepatahan encik tidak serius. Kita tak perlu sampai buat pembedahan. Cukup sekadar kita pasang splint sahaja. Cuma tiga bulan ini, encik tak boleh angkat atau pegang benda berat. Dan jangan lupa, berhenti merokok juga. Kuat bau rokok dari mulut encik ni!”

Lelaki berkenaan kembali tersengih-sengih seperti awalnya.

“Saya cadangkan, encik berjumpa kembali rakan encik tersebut. Sama-sama minta maaf atas pertelingkahan yang terjadi. Memanglah ketika kita beremosi, kita cenderung untuk terikut-ikut turutan nafsu. Namun bila dah terjadi kesan sebegini, buruk akibatnya.”

“Baik, doktor, saya faham. InsyaAllah, saya akan cuba selesaikan masalah saya ini dengan baik tanpa perlu melibatkan undang-undang.”

Be the first to comment on "Punca Ramai Pesakit Suka Tipu Doktor Tentang Kejadian Sebenar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*