Serangan Jantung Buatkan Aku Lebih Peka Dengan Pesakit Ini

 

“Dr. Ruhaifi, ada satu kes baru dimasukkan, untuk Unstable Angina.”

Doktor pelatih bertugas oncall pada ketika itu sedang menyiapkan laporan pesakit. Jam menunjukkan hampir 12 tengah malam. Suasana wad perubatan wanita ketika itu agak hening, dengan kebanyakan pesakit sudah melelapkan mata.
“Assalamualaikum, makcik.”

Wanita berusia 50-an tersebut tersenyum kelat apabila ditegur Dr. Ruhaifi. Tersandar kepenatan di atas katil hospital tersebut. Pernafasannya sedikit tercungap, lantas beliau membetulkan saluran oksigen nasal prong yang sedikit teralih dari lubang hidungnya. Anak perempuannya yang tidur di kerusi, terjaga dengan kehadiran doktor muda kacak tersebut.

“Macam mana makcik rasa sekarang?”

“Selesa banyak berbanding tadi, alhamdulillah. Masa tiba ke hospital tadi, nak bernafas pun tercungap-cungap. Hendak bercakap pun tak boleh!”

“Boleh makcik ceritakan, apa yang berlaku?”

“Lepas maghrib tadi, makcik rasa sakit dada. Makcik pun duduk lah sekejap. Tapi sakit dada tersebut tak berkurangan. Tidak semakin kuat juga. Cumanya penat bernafas. Sebab tu makcik beritahu anak, minta anak bawakan ke hospital.”

Dr. Ruhaifi meneruskan perbualan dengan pesakit wanita tersebut, sambil tangannya pantas menaip di laptop hospital. Kemudian, dengan cermat beliau melakukan pemeriksaan sebelum mengucapkan terima kasih. Beliau tidak terus beredar, sebaliknya masih berada berhampiran katil pesakit, menyiapkan laporannya.

Kecanggihan IT kini membolehkan para doktor membuat rondaan dan memeriksa pesakit, sambil terus menaip laporan di laptop yang disorong dari katil ke katil. Semua maklumat pesakit disimpan didalam komputer server, dan boleh diakses dengan pantas dan mudah.

Satu persatu maklumat pesakit dibaca, dari saat ketibaan pesakit di Jabatan Kecemasan sehinggalah ke kemasukan di wad tersebut.

“Eh..?” Dr. Ruhaifi terperasan sesuatu tatkala tangannya pantas mengklik butang tetikus.

“Makcik, maafkan saya, boleh saya tanya sesuatu?” beliau mendapatkan kembali wanita tersebut. Perlahan pesakit tersebut membukakan semula mata dek tidurnya yang terganggu buat kesekian kalinya.

“Kalau mengikut rekod kita, makcik pernah dimasukkan ke wad ini atas sebab serangan jantung yang hampir sama, iaitu tepat setahun yang lalu.” Dr. Ruhaifi memaklumkan. Wanita tersebut sekadar menunduk sayu. Perlahan anak perempuannya menghampiri doktor, mengajak beralih agak jauh sedikit dari katil ibunya.

“Sebenarnya doktor, pada tarikh ini dua tahun lepas, arwah ayah meninggal dunia. Petang tadi pun sebelum maghrib tu, mak ada minta saya bawa menziarahi kubur ayah. Agaknya sebab dia bersedih sangat, beliau mendapat serangan jantung kali kedua ini.”

Penjelasan dari anak perempuan pesakit tersebut, akhirnya menjawab persoalan yang bermain di minda Dr. Ruhaifi. Beliau menulis maklumat tersebut di komputer.

Keesokan paginya, sebelum solat subuh, Dr. Ruhaifi sempat mandi sebentar di bilik oncall. Secara kebetulan oncall beliau pada malam tersebut agak tenang. Bilangan kes baru tidaklah begitu ramai. Seusai subuh, beliau sudah memulakan rondaan pagi. Rakan-rakan sejawatannya sudah mula datang melaporkan diri bekerja pada pagi itu.

Dr. Ruhaifi turut serta bersama rondaan dengan pakar. Apabila tiba giliran pesakit wanita tersebut, Dr. Ruhaifi menceritakan kes wanita berkenaan. Dr. Ruhaifi turut memaklumkan bahawa wanita tersebut, pernah menerima rawatan untuk serangan jantung tepat pada setahun yang lalu.

Pakar bertugas, segera meminta agar pesakit berkenaan menjalani pemeriksaan ultrasound jantung. Pemeriksaan ultrasound jantung dipanggil echocardiogram. Hasil pemeriksaan echocardiogram pada pesakit wanita tersebut menunjukkan majoriti bahagian jantung beliau berfungsi dengan lemah. Cuma di bahagian pangkal jantung sahaja yang berfungsi dengan baik.

***

“Takutsubo Cardiomyopathy.”

Tercengang anak perempuan pesakit tersebut. Ibunya apatah lagi. Istilah perubatan yang disebut oleh pakar jantung tersebut, tidak pernah didengari mereka. Suasana bilik konsultasi pakar jantung tersebut berubah hening. Jika terjatuh hatta sebatang jarum peniti pun, nescaya dapat didengari.

“Apa yang makcik hidapi ini, dipanggil Takutsubo Cardiomyopathy. Ianya merupakan sejenis serangan jantung, namun sedikit berbeza dengan orang lain. Kebanyakan kes serangan jantung, adalah disebabkan oleh salur darah koronari jantung yang menyempit atau tersumbat.”

Petah pakar tersebut menerangkan, sambil mendemonstrasi pada model jantung yang turut dibawa bersama. Dr. Ruhaifi turut mendengar dengan teliti penerangan pakar jantung. Inilah antara peluang yang dimiliki oleh seorang doktor pelatih untuk belajar
.
“Tapi dalam kes makcik, serangan jantung makcik ini disebabkan oleh emosi yang terlampau. Apabila terdapat sesuatu insiden atau peristiwa yang membuatkan makcik emosi, menyebabkan suatu mekanisma berlaku pada jantung, hampir menyerupai serangan jantung. Akibatnya, jantung makcik menjadi lemah. Nama Takutsubo itu sendiri berasal dari istilah Jepun, bermaksud sejenis tembikar untuk memerangkap sotong di laut. Ia dinamakan sedemikian kerana jantung pesakit, menyerupai bentuk tembikar tersebut. Di muncungnya kecil, namun di bahagian bawahnya besar dan membengkak. Itu yang berlaku pada jantung makcik.”

Kedua-dua pesakit dan anaknya pun mendengar dengan teliti, cuba memahami. Pakar jantung turut melukis pada helaian kertas yang dibawa, bagi memudahkan pemahaman pesakitnya.

“Makcik jangan bimbang, dalam kebanyakan kes, fungsi jantung akan kembali menjadi normal setelah beberapa minggu. Buat masa ini makcik masih perlukan rawatan seperti oksigen dan ubat diuretik untuk merawat pengumpulan air berlebihan di paru-paru. Tapi insyaAllah lambat laun apabila jantung makcik semakin kuat, makcik sudah tidak perlukan rawatan oksigen, boleh berjalan dan bergerak seperti sediakala.

Namun perlu saya beri peringatan, untuk makcik cuba mengelakkan perkara-perkara yang boleh membuatkan emosi makcik terganggu. Ini kerana meskipun secara umumnya prognosis Takutsubo Disease ini baik, namun tanpa rawatan yang cepat dan sepatutnya, keadaan makcik boleh melarat dengan cepat dan boleh mengancam nyawa.”

Doktor pakar sengaja menjeling ke arah anak perempuan pesakit tersebut. Gadis tersebut mengangguk faham.

“Makcik bukan apa, doktor.. makcik rindukan suami makcik.. Dua tahun yang lalu, beliau meninggal dunia tiba-tiba. Akibat serangan jantung juga, di hospital inilah juga. Beliau tak sempat nak pesan apa-apa kepada makcik. Makcik pun tidak sempat hendak minta maaf, mohon ampun. Sebab itulah setiap tahun, makcik menziarahi kubur arwah suami makcik. Makcik menangis, bercakap, mengadu, seolah-olah arwah suami masih hidup. Makcik…”

Belum sempat beliau menghabiskan penceritaan, lelehan air mata mengganggu seraya membuatkan anak perempuannya memeluk ibunya.

“Mak…along kan ada.. adik-adik yang lain kan ada.. Mak boleh mengadu kepada kami..mak boleh ceritakan kepada kami.. Kami tahu mak rindukan abah..kami pun rindukan abah.. Tapi abah dah pergi, insyaAllah abah dah gembira disisi Allah.. Mak janganlah sampai memudaratkan diri, rindukan abah.. Mak doakanlah yang baik-baik kat abah.. Along dan adik-adik, kami semua tak pernah berhenti berdoa untuk abah..”

Doktor pakar dan Dr. Ruhaifi memandang suasana di wad tersebut dengan hiba. Awan mendung berarak, seakan-akan memahami suram perasaan yang melanda anak beranak tersebut.

Broken Heart Syndrome, adalah nama jolokan kepada Takutsubo Cardiomyopathy. Ianya sudah dikenalpasti seawal 1980-an lagi, namun kajian kes pertama dilaporkan pada tahun 1991 di Jepun. Pencetus (trigger) kepada serangan berbentuk Takutsubo Cardiomyopathy dilaporkan berbentuk stres emosi akut, seperti pergaduhan atau pertengkaran, menghadiri pengkebumian, terlibat dalam rompakan, bahkan turut terdapat kajian kes pesakit mengalami Takutsubo Disease akibat sebuah surprise party. Menurut statistik, majoriti pesakit yang menghidapi Takutsubo Disease ini, adalah wanita yang berusia lebih 40 tahun.

Be the first to comment on "Serangan Jantung Buatkan Aku Lebih Peka Dengan Pesakit Ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*