Tahap Bahaya Sang Kenit Kepada Bayi Serta Kanak-kanak

BAHAYA SANG KENIT

“Doktor, mata anak saya ada ketumbuhan!”

Wanita muda tersebut mendukung anaknya yang berusia sekitar 5 ke 6 tahun mendatangi saya di klinik. Lantas ditunjukkan mata kiri gadis tersebut, yang sedang menangis. Kesakitan, agaknya.

“Sudah berapa hari macam ni, puan?” saya bertanya.

“Hampir tiga hari. Pada mulanya kecil sahaja. Sekejap sahaja sudah besar sebegini!”

Di penghujung kelopak bawah mata anak kecil ini, kelihatan seketul “ketumbuhan” berwarna hitam berkilat. Saya menggunakan forcep, cuba memegang “ketumbuhan” itu.

Tanpa disangka, ia bergerak-gerak!

“Puan, ini bukan ketumbuhan. Ini namanya, ticks!” ujar saya.

“Ha, apa benda tu, doktor?”

“Orang kita, ada banyak nama untuknya. Sekenit, tungau, kutu babi, piras. Semuanya boleh dikatakan merujuk kepada benda yang sama. Ticks ini merujuk kepada sejenis haiwan kecil dari spesis Arachnid, sama keluarganya dengan labah-labah atau kala jengking.”

Kebiasaannya ticks ini hidup di haiwan berbulu seperti kucing, lembu, burung. Juga di tempat seperti belukar dan pokok. Mulutnya ada jarum halus untuk menghisap darah. Ticks memang hidupnya memakan darah. Asalnya saiznya kecil sahaja, tapi kalau tengok pada adik ini, dah gemuk dah pun, mesti banyak darahnya yang dihisap.”

Saya menerangkan panjang lebar, disamping ibu gadis tersebut melihat dengan teliti pada mata anaknya. Saya menghulurkan juga kanta pembesar untuk membolehkannya melihat dengan terperinci struktur badan hidupan kenit ini.

“Ish macam bahaya pula benda ni, doktor! Habis, nak cabut macam mana ticks ni?”

“Ya, memang agak bahaya. Untuk mencabut ticks ini, ada caranya. Dikhuatiri jika tersilap tarik, jarum atau kepala ticks ini tercabut atau terputus, seterusnya kekal di situ. Atau badan ticks ini pecah, menyebabkan cecair badannya mengenai kulit. Ini boleh mengundang jangkitan bakteria atau kuman yang lebih serius pula.”

“Keduanya, ticks ini, memandangkan ia hidup dengan memakan darah, badannya juga mengandungi pelbagai jenis bakteria dan virus yang berbahaya. Ada yang menghasilkan toksin, boleh menyebabkan kelumpuhan.”

Ibu gadis tersebut kelihatan agak risau. Saya segera melakukan pemeriksaan lanjut, bagi memastikan tiada komplikasi. Teringat dalam siri televisyen terkenal, House M.D., pada episod 216 ada diceritakan mengenai sebuah kes seorang gadis mengalami reaksi alahan (anaphylaxis shock) akibat gigitan ticks.

Anaphylaxis Shock, adalah antara komplikasi yang boleh berlaku akibat gigitan ticks. Selain itu, terdapat juga komplikasi berupa jangkita bakteria atau virus, yang berbeza-beza mengikut kawasan ianya berlaku. Contohnya, di Amerika, jangkitan borreliasis atau Lyme’s Disease adalah lebih kerap di sana.

Di Malaysia, antara penyakit berbahaya yang boleh disebarkan melalui ticks adalah seperti penyakit typhus. Scrub Typhus (tidak sama dengan penyakit typhoid), adalah penyakit jangkitan bakteria Rickettsia yang dibawa oleh hidupan ticks ini.

Sepanjang pengalaman saya, sudah dua ke tiga kali saya menjumpai penyakit Scrub Typhus ketika saya bertugas di hospital daerah. Pesakit datang dalam keadaan demam yang panas dan berpanjangan, sakit-sakit badan, dan ruam. Ini menyebabkan pesakit sebegini sering disalah anggap menghidapi demam denggi. Hanya apabila ujian darah menunjukkan negatif denggi dan pesakit masih terus demam melebihi seminggu, barulah kita terfikir mengenai scrub typhus.

Atas sebab itulah, adalah amat penting untuk doktor mendapatkan sejarah pesakit dengan teliti termasuklah sejarah gigitan “serangga” jika ada. Selain itu juga, adanya ruam atau kudis pada badan seperti “eschar” yang biasa terjadi akibat gigitan ticks, perlu dimaklumkan dan diperiksa doktor. Ini kerana penyakit scrub typhus ini, boleh membawa maut jika tidak diberikan rawatan antibiotik awal.

Kanak-kanak perempuan tadi saya baringkan, dan tenangkan. Alhamdulillah, beliau sangat memberikan kerjasama. Memang saya perhatikan sejak awal tadi, ibunya tidak memomokkan atau menakut-nakutkan anaknya. Selalu sangat ibubapa yang kita jumpa gemar menakut-nakutkan anak-anak.

“Nanti doktor cucuk, sakit!”
“Kalau nakal nanti ummi minta doktor inject”

Akibatnya, sering berlaku kanak-kanak menjerit dan meronta apabila ingin diperiksa doktor. Perbuatan menakut-nakutkan kanak-kanak ini membuatkan mereka takut dan fobia, sekaligus menyukarkan pelbagai prosedur dan pemeriksaan yang perlu dilakukan doktor apabila mereka benar-benar sakit.

“Adik pejamkan mata, baca surah al-fatihah didalam hati ya!” saya menyebut, untuk menenteramkan dan mengalihkan perhatian adik tersebut. Terkumat-kamit mulutnya membaca ayat hafalan beliau.

Dengan menggunakan forceps yang ada, saya memegang bahagian hujung ticks tersebut sebelum mencabutnya perlahan. Berlaku pendarahan yang kecil, yang saya hentikan menggunakan gauze. Luka kawasan gigitan tersebut saya bersihkan dengan antiseptik sebelum ditutup longgar.

Alhamdulillah, prosedur selesai dengan baik. Kanak-kanak tersebut sedikit pun tidak menangis. Ibunya tersenyum gembira.

“Puan, jika dalam tempoh seminggu dua ini anak puan ada mengalami gejala seperti demam panas dan sakit-sakit badan, puan perlu bawa anak puan mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital ya. Begitu juga jika dalam tempoh sebulan ini ada mengalami masalah seperti sawan, sakit kepala, lemah badan, puan perlu maklumkan kepada doktor yang merawat mengenai masalah ticks hari ini.”

Wanita tersebut mengangguk perlahan.

“Adik, lepas ini hati-hati kalau bermain dengan haiwan seperti kucing, dan elakkan bermain di kawasan seperti belukar dan rumput tinggi tau!”

“Baik, terima kasih doktor!” ujar adik kecil berkenaan.

Be the first to comment on "Tahap Bahaya Sang Kenit Kepada Bayi Serta Kanak-kanak"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*